"Letih selalu membuatku berfikir jauh ke masa silamku yang kadang membuatku ketawa, kadang membuatku tergenang. Hari ini aku dapat siapkan semua dokumen surat izin belajar dan semuanya telah diposkan dengan selamat. Lega hatiku setelah semuanya selesai. Malamnya aku mengajak juniorku keluar untuk belanja aku makan. Kononnya sebagai imbalan tolong poskan dokumen tu. Padahal aku cuma mahu mengubat hati yang asyik berduka. Makan malam yang sederhana tapi cukup untuk menghiburku.
Dalam perjalanan pulang aku pandang langit yang tak berawan. Terlihat bintang-bintang cerah mengelilingi bulan. Tenang. Seolah-olah semuanya sedang memandang aku yang kesepian. Kalaulah bintang itu adalah matanya, setiap masa akan ku tatap indah langit malam. Kalaulah bulan itu telinganya, setiap masa akan ku bisikkan bait puisi padanya.
Aku terus membonceng motosikal yang dulu pernah membawa dirinya. Bagaimana mungkin aku lupakan tangannya yang merangkul pinggangku. Lalu aku pegang tangannya membalas sentuhannya. Semuanya seperti baru terjadi walaupun aku sedang keseorangan mengharung sejuk malam. Aku memulas minyak lebih kuat dan laju cuba untuk menghilangkan semua kenangan bersamanya. Semakin laju angin menerpa wajahku, semakin kuat hatiku ingin menjerit memanggil namanya. Aku lihat semua kenderaan seperti membuka laluan untuk aku yang tenggelam dalam kenangan lalu.
Sampai dirumah aku terus mengambil gitar dan mengalunkan bait lagu yang ada namanya. Cuba untuk menghilangkan rindu di hati. Setelah sejam melayan perasaan yang resah, aku mula sedar yang dirinya tidak lagi akan bersamaku. Biarpun berapa lama aku kan tunggu. Kenyataan ini membuatku tersentak dan perasaan mengantuk mula hadir. Aku rebahkan diri di atas tilam yang sering menjadi tempat aku melepas penat lelah. Bantal aku peluk erat menutup wajah sedihku.
Aku pasti akan teruskan hidupku. Dia hanyalah persinggahan dalam hidupku yang belum pasti ke mana destinasi. Pernah ku katakan pada diriku, bagiku dialah destinasi yang ku cari."
Swim
5 years ago
0 comments:
Post a Comment